KEBAIKAN PENDIDIKAN AWAL KEPADA KANAK-KANAK
Kanak-kanak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi pelapis generasi negara. Pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka pada masa akan datang. Namun, ramai yang tidak tahu cara untuk mencorakkan kanak-kanak mengikut acuan yang betul.
Pendidikan awal kanak-kanak bermula dari taska melibatkan kanak-kanak berumur 4 tahun ke bawah dan tabika lima hingga enam tahun akan diasuh dan diajar oleh tenaga pengajar dengan mendedahkan suasana pembelajaran yang sesuai dengan peringkat mereka. Selain itu, pendidikan awal kanak-kanak juga merupakan pendidikan peringkat awal usia kanak-kanak. Pelbagai perkataan atau frasa digunakan untuk merujuk kanak-kanak dan hubungannya dengan pendidikan dan penjagaannya.
Peringkat awal kanak-kanak ialah satu jangka masa yang amat penting dalam proses pembesaran semua kanak-kanak. Pada peringkat inilah kanak-kanak mula melangkah dari alam keluarga ke dunia sosial. Kanak-kanak juga telah memantapkan diri mereka dengan agak mudah dan berjaya sebagai ahli dalam kumpulan rakan sebaya mereka. Pada masa ini juga mereka berdepan dengan cabaran yang mana bagi kebanyakan kanak-kanak tidak serupa dengan apa yang mereka temui sebelum ini.
Kini kebanyakan kanak-kanak terlibat dengan PAKK kerana kesedaran ibu bapa tentang kepentingan pendidikan dan peningkatan jumlah ibu bekerja. Istilah prasekolah atau tadika digunakan dengan meluas di Malaysia bagi merujuk PAKK. Pendidikan awal menyediakan generasi yang mempunyai daya ketahanan untuk menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, menumpukan perhatian dan membina daya keintelektualan.
Peringkat kanak-kanak merupakan peringkat yang utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringkat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seseorang. Terdapat juga hadith yang bermaksud ; Apabila anak Adam meninggal dunia, putuslah semua amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang mantaat dan anak yang saleh yang mendoakannya. (Riwayat Muslim)
Terdapat juga beberapa hadis yang menunjukkan tentang kepentingan pendidikan kepada umat Islam. Sebagai contohnya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda (Bukhari t.th. 5) yang bermaksud “Tiap-tiap kanak-kanak itu dilahirkan dalam keadaan suci, maka ibu bapanyalah yang menjadikan ia Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
Hadis ini menerangkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting dalam pendidikan awal seperti membentuk asas-asas perkembangan diri seseorang anak. “Melentur buluh biarlah dari rebung,” peribahasa ini membawa analogi bahawa untuk mendapatkan keberkesanan dalam pendidikan seseorang itu mestilah bermula daripada masa kanak-kanak. Ini bertepatan dengan beberapa sabda Rasulullah saw (Abu Dawud t.th.) yang bermaksud “Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun (jika masih tidak bersolat)”.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ – 66:6
“Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan” (Surah al-Tahrim 66:6)
Melalui ayat ini boleh kita fahami bahawa setiap orang mukmin bertanggungjawab memelihara dan menjaga keluarga daripada dimasukkan ke dalam api neraka. Oleh demikian, anak-anak yang dilahirkan boleh diumpamakan seperti kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkan anak-anak kepada warna-warna yang diingini. Jika Islam menjadi pilihan hati mereka maka terwarnalah anak-anak mereka mengikut ajaran Islam yang sebenar. Islam merupakan agama yang lengkap dan sempurna untuk diamalkan sepanjang masa dan zaman. Sesungguhnya Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam mendidik anak-anak bermula dari memilih pasangan hinggalah proses membesarkan anak sehingga dewasa.
Akhir sekali, pendidikan adalah sangat penting dalam kehidupan seseorang muslim. Pembinaan bangsa dan tamadun juga bermula dengan pendidikan. Oleh itu, pendidikan sejak kecil haruslah ditekankan kerana agama Islam sendiri sangat menekankan pendidikan. Kalau dahulu, kanak-kanak dihantar terus ke sekolah tanpa melalui fasa pendidikan prasekolah, tetapi situasi kini sangat berubah. Kanak-kanak itu juga akan keciciran pelajaran jika tidak dihantar ke tadika-tadika. Ini menunjukkan perlunya ada satu sistem yang boleh dijadikan panduan kepada pendidikan prasekolah berasaskan falsafah yang telah digariskan dan mencapai objektif kepada pendidikan awal kanak-kanak.
Cuma, persoalannya acuan mana perlu diikut, dan bersesuaian dengan pegangan agama kita, agama Islam. Seharusnya kanak-kanak dicorak dengan nilai-nilai adab Islam dan budaya ketimuran sekalipun berdepan dengan era globalisasi. Tanamkan nilai-nilai murni ke dalam jiwa anak-anak yang diibaratkan seperti kain putih kerana mereka merupakan generasi pelapis kita pada masa hadapan.
Dengan izin Allah, Majlis Ihtifal dan Konvokesyen 2017 berlangsung seperti yang dijadualkan. Untuk majlis kali kedua ini, Monterez Golf & Country Club dipilih sebagai venue bagi menyempurnakan acara tahunan yang menjadi kewajipan dalam menterjemahkan penghargaan ke atas usaha anak-anak. Pada 12 November 2017 bersamaan 23 Safar 1439, majlis dimulakan seawal jam 8 pagi, dengan sesi pendaftaran oleh ibu bapa di kaunter pendaftaran. Sesi pendaftaran ini bertujuan memudahkan ibu bapa mengambil meja di dalam dewan tanpa menimbulkan sebarang masalah.
Jam 8.45 pagi majlis diteruskan pula dengan ucapan aluan pengacara majlis oleh Muhammad Asyraf Bin Mohd Zawawi dan diikuti dengan bacaan doa Al-Fatihah yang diketuai oleh adik Aniq Sirhan, doa kedua ibu bapa oleh adik Ariff Rayyan dan doa sebelum belajar oleh adik Nurkhodeejah. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Al-Quran Surah An-nisa ayat 66 oleh adik Tiryaq, terjemahan Bahasa Malaysia oleh adik Ainul dan juga terjemahan Bahasa Inggeris oleh adik Marissa. Pengacara majlis juga turut memberitahu tema majlis ihtifal pada tahun 2017 adalah “Cita-citaku Membina Negaraku”. Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor bersama-sama dengan semua anak-anak Smart Soleh dan para hadirin.
Pada 9.20 pagi berlangsungnya bacaan surah Yassin (ayat 1-15) dan surah Al-Kahfi (ayat 1-7) oleh anak-anak dari Smart Soleh Subang Bestari 2017 seramai 16 orang yang diketuai oleh adik Marissa. Setelah selesai membaca kedua-dua surah tersebut, anak anak turut membaca doa khatam Quran sebagai penutup acara hafazan pada tahun ini. Seterusnya, majlis disempurnakan lagi dengan ucapan Pengurus SSiP Subang Bestari oleh Puan Nor Izzati Binti Mohd Haduri dan diikuti dengan ucapan perasmian majlis oleh Encik Lizan Bin Hassan.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh semua anak-anak Smart Soleh dengan Koir Aku Negaraku bimbingan daripada Teacher Izza. Persembahan ini dapat memupuk semangat dan cinta akan negara dalam diri anak anak berdasarkan tema ihtifal iaitu cita-citaku membina negara. Seperti kebiasaannya, anak-anak menyampaikan persembahan mereka. Macam-macam ragam yang dipersembahkan sebagai menu tontonan bagi ibu bapa dan tetamu yang hadir. Ada yang akur mengikut arahan seperti yang dilatih dan tak kurang juga ada yang berubah tingkah laku setelah berada diatas pentas. Apa-apa pun, ia hanya satu resepi dalam menghidupkan majlis ini. Tidak kurang juga dengan ibu bapa yang kelihatan amat bersemangat melihat anak-anak mereka membuat persembahan di hadapan pentas.
Acara yang menjadi satu kewajipan, iaitu penyampaian sijil dan hadiah kepada anak-anak yang terlibat. Sesi penyampaian hadiah kepada Cheerful Ma’wa mula dijalankan. Best Leadership Award dimenangi oleh adik Ameera Aisyah Binti Mohammad Hazmer. Kategori Best Friendship Award pula dimenangi oleh adik Nashrullah Ryuki Bin Mohamad Asrul, bagi kategori Awesome Soleh Attitude Award pula dimenangi oleh adik Muhammad Faiq Ziqry Bin Mohd Fazrey dan kategori yang terakhir adalah Most Cheerful Award dimenangi oleh adik Kasyaf Anaqi Bin Kamarul Azahar.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah bagi Fun English At Home yang dijalankan bersama ibu bapa pada hujung minggu. Bagi kelas Cheerful Ma’wa dimenangi oleh adik Ameera Aisyah Binti Mohammad Hazmer, bagi kelas Progressive Firdaus dimenangi oleh adik Ainul Batrisya Binti Mohd Fadzli. Kelas Dynamic Adnin pula dimenangi oleh adik Hani Marissa Binti Mohammad Hazmer dan bagi kelas Aspiring Rayyan dimenangi oleh Adik Muhammad Tiryaq Attamimi Bin Fakhrur Razi. Penyampaian hadian ini bertujuan menghargai usaha anak-anak dengan aktiviti yang telah disertai oleh mereka dan dapat menaikkan semangat belajar dalam diri anak-anak Smart Soleh.
Majlis ihtifal tahun ini dimeriahkan lagi dengan dua persembahan dari anak-anak 6 Rayyan dan 5 Adnin yang bertajuk When I Grow Up dan juga boria moden. Persembahan ini dibimbing oleh Teacher Nadia dan Teacher Anis. Dengan persembahan ini, anak-anak dapat keluar daripada ketakutan untuk berhadapan dengan orang ramai dan mampu memupuk sifat keberanian dalam diri mereka. Setelah anak-anak 6 Rayyan dan 5 Adnin selesai membuat persembahan, penyampaian hadiah diterukan lagi bagi Foundation Level 1serta hadiah Pakaian terbaik yang dimenangi oleh Puan Siti Aida Binti Ahmad, ibu kepada adik Faeeq Qhaleef yang memperagakan pakaian Sari daripada kaum India.
Majlis turut diceriakan dengan tarian 1 Malaysia oleh anak-anak Progressive Firdaus di bawah bimbingan Teacher Arra. Di samping itu, anak-anak dapat didedahkan dengan pelbagai pengetahuan tentang kaum-kaum yang terdapat di Malaysia berdasarkan tarian yang dipersembahkan oleh mereka. Pada jam 11.20 pagi, majlis dimeriahkan lagi dengan perarakkan Istiadat Konvokesyen 2017 yang disertai oleh 8 orang pelajar. Istiadat Konvokesyen ini bertujuan untuk merayakan anak-anak yang telah tamat belajar selama 3 tahun di tadika. Ia adalah saat kemuncak anak-anak di alam pendidikan awal dalam mempersiapkan diri mereka sebelum mereka melangkah ke alam pendidikan yang lebih mencabar. Sudah menjadi matlamat seorang guru ingin melihat anak didik mereka mempunyai bekalan yang dapat menampung keperluan akademi dan sahsiah diri dalam menempuh alam yang lebih matang. Akhir kata, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua guru-guru dan individu-individu yang terlibat dalam menjayakan acara tahunan yang bersejarah ini.
Gambar di atas menunjukkan anak-anak Smart Soleh Subang Bestari sedang menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor. Gambar di atas juga menunjukkan adik Tirqay, adik Ainul dan juga adik Marissa sedang membaca Al-Quran Surah An-nisa ayat 66 dan terjemahan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
Gambar di atas menunjukkan anak-anak Smart Soleh sedang membaca surah Yassin (ayat 1-15) dan surah Al-Kahfi (ayat 1-7) dengan penuh semangat
Gambar di atas menunjukkan semua anak anak Smart Soleh sedang membuat persembahan Koir Aku Negaraku
Gambar di atas menunjukkan persembahan When I grow Up dan Boria Moden yang begitu meriah dari 6 Rayyan dan 5 Adnin
Gambar di atas ini pula menunjukkan anak-anak 4 Firdaus membuat persembahan Tarian 1 Malaysia seiring dengan tema Cita-citaku Membina Negara
Gambar di atas ini menunjukkan ke semua anak-anak Smart Soleh yang telah selamat graduasi dengan jayanya pada tahun 2017
Gambar di atas menunjukkan anak-anak Smart Soleh Subang Bestari bersama dengan guru-guru setelah selesai semua majlis ihtifal 2017