Sambutan hari lahir bukanlah bertujuan mengikut pengaruh Barat, tetapi sebagai suatu peringatan tentang bertambahnya tanggungjawab seisi keluarga terhadap segala urusan duniawi dan ukhrawi. Di samping ucapan selamat dan doa, setiap anggota keluarga boleh mengambil kesempatan ketika berkumpul bersama itu bagi merancang sebarang aktiviti yang boleh mendekatkan lagi ikatan kekeluargaan. Jiran dan rakan terdekat boleh diajak bersama menghadiri majlis sambutan supaya anak-anak terbiasa dengan kehidupan bermasyarakat dalam konteks yang lebih luas.
Begitu juga di sekolah, para pendidik bertungkus lumus menyediakan sebuah majlis yang kecil bagi meraikan hari kelahiran anak-anak didiknya. Selain itu, anak-anak juga turut dipupuk agar lebih menghargai seseorang dan juga mereka dipupuk agar sentiasa saling menyayangi antara satu sama lain. Para pendidik akan membekalkan makanan dan menghiaskan kelas atau ruangan tertentu bagi meraikan kanak-kanak yang lahir pada bulan tersebut.
Ibu bapa juga turut bekerjasama, merealisasikan sebuah majlis yang meraikan insan yang cukup istimewa bagi mereka. Ibu bapa turut membekalkan makanan dan berkongsi dengan anak-anak yagn lain. Justeru itu, anak-anak lebih banyak belajar tentang berkongsi makanan dengan rakan-rakan yang lain. Walau bagaimanapun kita sebagai umat islam, masih perlu menitik beratkan sesuatu sambutan itu agar tidak keterlaluan sehingga menyebabkan suatu pembaziran yang sia-sia. Paling penting, kita tidak menyerupai kaum lain atau agama lain, seperti Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” Hadis sahih riwayat Abu Daud, Ibn Hibban
Memotong kek hari lahir tidak salah. Namun begitu, amalan membuat hajat dan meniup lilin sebelum memotong kek itu tidak terdapat dalam ajaran Islam. Begitu juga, menyanyikan lagu ‘Happy Birthday To You’ seperti yang biasa dinyanyikan oleh orang-orang di negara Barat. Islam tidak melarang menyambut hari lahir asalkan kita menjaga adab, tata tertib dan pengisian yang boleh didapati dari majlis tersebut supaya ia tidak menyerupai kaum lain atau agama lain. Tiada percampuran antara lelaki dan wanita, pergaulan bebas, meminum arak, mendedahkan aurat dan tari menari. Tidak melupakan yang WAJIB iaitu solat. Tidak membelanjakan wang yang banyak untuk majlis sambutan hari lahir. Sebaiknya, raikan bersama anak-anak yatim atau fakir miskin dengan menjamu makan dalam cara yang sederhana.
Amalan memberi hadiah ini juga dianjurkan oleh Islam kerana ia akan menimbulkan kemesraan dan suasana yang penuh mahabbah (kasih sayang).Hadiah yang diberikan tak semestinya besar dan mahal, tetapi ia akan menjadi tanda ingatan yang ikhlas, di samping menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sabda Nabi s.a.w:
“Hadiah-menghadiahlah, kamu akan berkasih-sayang.”
Kesimpulannya, islam telah meletakkan beberapa garis panduan agar kita tidak melebih dalam menyambut atau meraikan sesuatu majlis agar tidak keterlaluan dan tidak berlakunya pembaziran. Sesuatu majlis perlulah mempunyai tujuan yang nyata dan memberikan kegembiraan kepada orang lain yang terlibat dalam majlis tersebut. Persediaan yang sederhana adalah lebih baik. Tiada yang lebih membahagiakan seorang hamba dari mengucapkan syukur kepada Tuhannya sebagai tanda mensyukuri peluang dan nikmat umur yang dikurniakanNya. Firman Allah:
“Dan terhadap nikmat Tuhan-Mu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutkannya (dengan bersyukur).” (Ad-Dhuha: 11).
TENTATIF PROGRAM
8.00 pagi Pendidik menyambut anak- anak
8.30 pagi Pendidik memainkan video kepada anak-anak
9.00 pagi Pendidik memulakan majlis dan mengumpulkan anak-anak
9.30 pagi Pendidik bersama anak-anak yang lahir pada bulan tersebut untuk memotong kek
10.00 pagi Sesi nyanyian, memotong kek dan sesi bergambar bersama anak-anak ssip
10.30 pagi Pendidik mengedarkan kek dan makanan kepada anak-anak
10.45 pagi anak-anak dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mandi didalam kolam yang telah disediakan
11.45 pagi anak-anak dikumpulkan secara berperingkat untuk mandi dan menukar pakaian.
12.30 t/gahari pendidik mengumpulkan anak-anak dan bersiap sedia untuk makan tengahari
1.00 petang anak-anak naik ke bilik tidur untuk berehat
1.30 petang Majlis bersurai
GAMBAR